Wednesday, October 3, 2012

Belia beli telefon pintar 3G dapat rebat RM200



KUALA LUMPUR – Golongan belia akan menikmati rebat sebanyak RM200 secara one-off atau bayar sekali bagi pembelian satu unit telefon mudah alih pintar 3G, yang bertujuan membuka akses untuk golongan itu kepada lebuh raya maklumat, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan hari ini.

Perdana Menteri berkata, pakej khas itu, yang akan diperkenalkan kerajaan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan syarikat telekomunikasi, terbuka kepada belia berumur antara 21 hingga 30 tahun dengan pendapatan bulanan RM3,000 ke bawah.

“Sebanyak RM300 juta disediakan dan akan memanfaatkan 1.5 juta belia,” kata Najib yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2013 di Dewan Rakyat, hari ini.

Najib berkata, kerajaan juga akan menganjurkan Festival Belia Putrajaya yang merupakan perhimpunan belia terbesar negara sempena perisytiharan tahun 2013 sebagai Tahun Kesukarelaan Nasional.

Kementerian Belia dan Sukan sebelum ini berjaya mengumpulkan kehadiran 1.5 juta belia pada Himpunan Jutaan Belia di Putrajaya pada Mei lepas.

Najib berkata dalam usaha melahirkan generasi belia yang berpersonaliti tinggi, berintergriti, kreatif dan berinovasi, kerajaan melancarkan program Y-Creative yang melibatkan persatuan belia di seluruh negara.

Bagi mengiktiraf peranan belia dalam pembangunan negara, kerajaan akan melancarkan Pertandingan Lautan Biru 1Malaysia for Youth atau 1M4U bagi golongan
itu mempersembah idea-idea kreatif dan inovatif menerusi pertandingan di peringkat tempatan, negeri dan kebangsaan.

“Tiga idea terbaik akan diberikan peruntukan daripada Dana Sukarelawan 1Malaysia,” kata Najib.

Katanya bagi membantu usahawan muda dalam bidang informasi, komunikasi dan teknologi (ICT), sebuah yayasan dengan nama New Entrepreneur Foundation akan ditubuhkan dengan peruntukan permulaan sebanyak RM50 juta bagi program latihan dan bimbingan.

Selain itu, Young Entrepreneur Fund juga diwujudkan dengan peruntukan RM50 juta, disediakan oleh SME Bank.

Dana pinjaman mudah alih ini adalah untuk belia berumur 30 tahun ke bawah dengan subsidi kadar pinjaman sebanyak dua peratus dan had maksimum pinjaman sebanyak RM100 serta bayaran balik selama tujuh tahun.

Sinar


Link Menarik untuk Anda
Artikel: Rahsia kecantikan Neelofa
Video: GangNam Parody Triller

Bajet: Pencen minimum pesara kerajaan RM820


KUALA LUMPUR – Kadar pencen minimum bagi pesara kerajaan yang berkhidmat sekurang-kurangnya 25 tahun akan dinaikkan daripada RM720 kepada RM820, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata pelarasan pencen itu akan mengambil kira bayaran pencen bermula 1 Jan 2012.

“Kerajaan tidak akan lupa jasa pesara yang pernah mencurahkan khidmat bakti dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada negara.

“Langkah ini melibatkan seramai 50,371 pesara, termasuk penerima pencen terbitan, dengan peruntukan tambahan sebanyak RM60 juta setahun,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2013 di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Sementara itu, kerajaan turut mencadangkan pengurangan caj bayaran pemprosesan pasport berkuatkuasa Januari 2013 dalam usaha mengiktiraf golongan warga emas.

Najib berkata caj bayaran pemprosesan pasport untuk tempoh sah laku selama lima tahun bagi warga emas akan dikurangkan sebanyak 50 peratus daripada RM300 kepada RM150.

“Manakala, bagi caj bayaran pengurusan pasport untuk tempoh dua tahun dikurangkan kepada RM80,” katanya.

Tambahnya, pengurangan caj bayaran pasport itu turut diperluaskan kepada kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah. – Bernama

Link Menarik untuk Anda
Artikel: Rahsia kecantikan Neelofa
Video: GangNam Parody Triller

Mudarat air ketum sama seperti dadah



PENAGIHAN dadah dalam kalangan anak muda kita semakin membimbangkan. Munculnya pelbagai jenis dadah moden seperti ice, pil kuda, dan ekstasi bukan sahaja menjadikan cara manusia menghisap dadah berubah, malah menjadikannya merebak dengan begitu cepat.

Kini, di beberapa negeri di utara tanah air, muncul pula kegilaan baharu masyarakat terhadap air ketum. Ia merupakan daun yang diambil dari sejenis tumbuhan yang tumbuh secara melata di beberapa negeri utara tanah air.

Daun ini kemudiannya direbus dan airnya diminum dengan anggapan bahawa ia mampu menyembuhkan penyakit dan memulihkan tenaga.

Bagaimanapun, yang jarang disedari ialah simptom ketagihan bahan ini. Adalah mustahil ia mampu mengubat penyakit atau memberikan kekuatan jika penggunanya tidak boleh meninggalkannya sama sekali dan perlu bergantung pula pada air ketum setiap hari.

Dalam keadaan seperti ini, air ketum tidak lagi mampu menjadi ubat, sebaliknya sedang menjadi racun yang sedang merosak diri dan masyarakat.

Kesan ketagihan

Benar, kesan ketagihannya mungkin tidaklah sebesar penggunaan dadah hingga menyebabkan ada yang mencuri atau melakukan jenayah lain. Bagaimanapun, ada kesan sosial lain yang lebih buruk daripada penggunaan dadah.

Tidak seperti penggunaan dadah, peminum air ketum ini terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat. Ia bukan hanya melibatkan anak muda, malah orang dewasa.

Kalau penggunaan dadah biasanya melibatkan mereka yang dianggap sebagai ‘rosak akhlak’, bagaimanapun peminum air ketum ialah ahli masyarakat yang normal.

Mereka terlibat dengan aktiviti harian lain seperti bekerja, pergi ke masjid dan terlibat dengan kegiatan kemasyarakatan seperti biasa. Dalam erti kata yang lain, mereka ialah manusia budiman.

Aktiviti meminum air ketum juga lebih terbuka. Ia diminum di rumah ketika duduk bersantai dan dianggap hal biasa yang tidak merosakkan masyarakat. Malah, dalam banyak keadaan, peminumnya memberi tanggapan positif kononnya ia boleh menghilangkan pelbagai jenis penyakit termasuklah kencing manis dan darah tinggi.

Hakikat yang jarang diselidiki ialah sejauh manakah air ketum ini memberikan kebaikan dibandingkan dengan keburukannya?

Mereka yang telah beberapa kali meminum air ketum biasanya berpotensi untuk terus menjadi penggunanya. Pengguna yang cuba meninggalkannya pula akan berasa mengantuk, tidak senang duduk, malah ada yang mengadu mengalami cirit birit.

Simptom ini sebenarnya sama seperti yang dialami oleh penagih heroin dan ubat batuk, malah penggunaan air ketum yang terlampau menyebabkan kulit muka menjadi seperti terbakar dan kehitaman. Semua ini merupakan kesan buruk yang biasanya tidak disedari oleh penggunanya.

Hakikat lain yang jarang difikirkan ialah penagihan air ketum ini telah menyebabkan kesan sosial yang jauh lebih buruk malah, lebih buruk daripada penggunaan dadah yang lain.

Begitupun, oleh kerana penggunanya ialah orang dewasa dan ada yang ‘warak’, maka mereka boleh memberikan pelbagai fatwa untuk menghalalkan penggunaannya.

Ini menjadikan ia mampu berkembang dan merebak dengan cepat ke dalam masyarakat. Bayangkan, kini penggunanya melibatkan pelajar sekolah menengah pula.

Persepsi berubah

Ia tidak dianggap sebagai hal terlarang kerana golongan dewasa sendiri telah menganggapnya secara positif. Sekiranya ada anak-anak remaja yang menggunakannya, adakah golongan dewasa mampu memberikan teguran kalau mereka sendiri penggunanya?

Sebenarnya inilah antara isu besar yang sedang melanda kita. Orang dewasa yang menggunakan air ketum ini akan kehilangan ‘pengaruh’ psikologikal untuk menegur dan membimbing anak-anak remaja sekiranya ada yang terjebak dengan ketagihan air ketum.

Harus diingat, penagihan dadah biasanya berkembang daripada satu tahap ke tahap yang lain. Bayangkan, sekiranya anak-anak ini kemudiannya mula menjinakkan diri dengan dadah. Apakah yang boleh dilakukan oleh orang dewasa untuk menegur mereka?

Bagaimana nanti sekiranya anak-anak ini mula bertanya apakah bezanya mereka, ‘ayah menagih air ketum, dan kami pula menagih ganja!’.

Inilah sebenarnya kesan buruk yang mungkin tidak disedari oleh pengguna air ketum. Walau sebesar mana mitos positif mengenai air ketum, ia sebenarnya lebih banyak mengundang kerosakan kepada masyarakat berbanding kebaikannya.

Ia sedang menyumbang kepada beberapa kerosakan lain yang tidak disedari. Mitos kehebatan air ketum hanyalah dongeng seperti yang juga muncul dalam penggunaan dadah yang lain. Berhentilah, kalaupun bukan untuk diri sendiri, tetapi untuk anak-anak kita yang kian membesar.

Kosmo

Link Menarik untuk Anda
Artikel: Rahsia kecantikan Neelofa
Video: GangNam Parody Triller
Read more: http://www.mybloggertrick.com/2012/02/facebook-popup-like-box-with-timer.html#ixzz28Oi4qSs6